Uswatun Hasanah (21 Mac 2008)

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers

Tips Mendidik Anak

  1. Pendidikan anak-anak adalah ibadah jika dilakukan dengan ikhlas selain tanggungjawab yang akan dihitung oleh Allah.
  2. Apa yang dibiasakan sejak kecil akan menjadi tabiat anak setelah dewasa
  3. Mental retarded atau geniusnya seseorang anak bergantung kepada layanan orang di sekelilingnya.
  4. Kanak-kanak mampu belajar lebih banyak apabila otaknya berkembang dengan pesat
  5. Rangsangan otak yang tinggi akan mempercepatkan pertumbuhan fizikal anak.
  6. Brain injured yang menyebabkan kelumpuhan mampu dipulihkan dengan betul pada peringkat awal kanak-kanak.
  7. Ajarkan anak-anak bahasa kedua dan ketiga sebelum 1 tahun untuk mewujudkan sel-sel otak dalam unit bahasa
  8. Fitrah kanak-kanak adalah belajar dengan cara meneroka alam. Apabila dia disekat, dia akan merasakan bahawa belajar adalh perkara yang tidak disenangi dan menjadi malas untuk belajar kelak.
  9. Belajar adalah keseronokan apabila tidak dipaksa, dihukum, ditakuti dan disuruh bersaing. Kanak-kanak akan cepat belajar apabila berada dengan kakak atau abangnya yang sedang mengulang kaji pelajaran.
Petikan daripada : NURY

Berkunjunglah ke NURY

Subhanallah... wal hamdulillah.

Andai anda punya kelapangan atau mempunyai anak sindrom down atau bermasalah ... berkunjunglah ke Institut Pembangunan dan Keluarga NURY. Pasti ada ilmu berharga yang anda dapatkan di sana dalam mendidik anak - anak menjadi manusia cemerlang.

NURY ditubuhkan oleh Dato' Dr Noor Laily pada tahun 1985 untuk meneruskan idea Glen Doman dan memberi harapan kepada kanak - kanak yang bermasalah untuk cemerlang seperti mereka yang normal. Apa yang menarik, unsur - unsur islam diterapkan dalam program ini.

http://www.nury.com.my/03/


Kenali EMOSI Anak


Ibu bapa perlu membimbing, fahami perasaan anak ketika usia semakin meningkat supaya pemikiran tidak terganggu. Kehadiran anak dalam sebuah perkahwinan memberikan makna besar kepada insan bergelar ibu dan bapa. Permata hati disambut riang gembira. Saban hari bertukar ganti, daripada telapak kaki sebesar dua jari hingga ke pandai ‘berdiri sendiri’, ibu bapa kadang kala terasa semakin jauh dengan anak yang dilahirkan.

Senario seperti ini bukan perkara baru, malah segelintir ibu bapa sendiri mengakui, semakin anak itu membesar, semakin sukar dikawal pergerakan mereka. Seorang teman menyebut ‘kalau masih kecil, bolehlah dipukul, ditampar, tapi bila sudah besar, dia pula yang memukul aku nanti’.

Realitinya bayi yang lahir ke dunia ini diciptakan memiliki emosi yang tidak sama. Ibu bapa tidak boleh menyangka sekiranya perangainya baik, maka anaknya akan mengikut perangai yang serupa. Sedikit sebanyak mungkin ada benarnya kerana pendidiknya adalah kita sebagai ibu bapa.

Tetapi pengaruh luaran kadangkala memberikan impak lebih besar kepada anak itu nanti. Sebab itulah mendidik anak perlu dilakukan mengikut zaman mereka berada, dan tidak sesuai mengamalkan didikan ‘zaman dulu’ kepada anak zaman ini.

Bagaimanapun, ramai pakar kanak-kanak bersetuju, andai emosi anak ditangani dengan baik sejak kecil, pergerakan mereka ‘lebih mudah dikawal’, umpama menekan alat kawalan jauh. Emosi yang stabil membantu melahirkan anak lebih cemerlang, emosi yang terganggu pula melahirkan anak sebaliknya.

Emosi dikaitkan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam kehidupan seseorang. Ia menunjukkan pelbagai aspek termasuk negatif atau positif, kerana ia membantu kanak-kanak membina idea baru, matlamat dan perancangan.

Pensyarah Psikologi Perkembangan Dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mastura Badriz, berkata ilustrasi emosi yang terlihat dalam kehidupan harian kanak-kanak berfungsi sebagai satu cara bagi komunikasi untuk memberitahu dan menyatakan keperluan mereka.

“Segelintir anak yang menangis, besar kemungkinan mereka berasa takut dan memerlukan perlindungan daripada ibu bapa mereka. Kanak-kanak selalunya belum mengenali konsep masa. Sama ada sekejap atau lambat, asal saja ibu bapa tiada depan mata mereka akan mula menangis.
“Kadangkala ibu bapa selalu merungut ‘budak ni, aku tak ada depan mata seminit pun menangis’. Mereka hanya tahu, bila tiada ibu bapa depan mata, maka sudah tidak selamat,” katanya pada Seminar Celik Emosi anjuran Hal Ehwal Wanita (Helwa), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) baru-baru ini.

Beliau berkata, kanak-kanak menyuarakan ‘isi hati’ menerusi emosi yang ditonjolkan dan ibu bapa selalunya adalah idola kepada mereka. Segelintir ibu bapa yang marah terhadap anak andai menjerit, tetapi pada masa sama si ibu atau ayah tetap mengherdik seperti ‘mak kata jangan menjerit’.

Penggunaan intonasi yang tinggi, sedangkan ibu inginkan anak bersuara rendah, menjadi anak berkenaan keliru dengan apa yang diperkatakan. Memandu atau menangani emosi anak ke arah positif adalah perlu dalam usaha melahirkan anak yang seimbang.

“Setiap anak itu unik dan tersendiri. Along dan angah mungkin mempunyai emosi yang berlainan. Dalam usaha mengenali anak, ibu bapa perlu memahami emosi mereka kerana kita tidak mahu anak membesar dalam emosi yang terganggu.

“Ada anak yang sensitif tetapi ada anak yang merajuk mahu dirinya dipujuk serta dirayu. Andai betul caranya, kita ‘melayan’ emosi mereka, si kecil akan membesar merasa dirinya dihargai dan diperlukan, bukan dibiarkan bersendirian dan dibenci,” katanya.

Jenis Emosi atau Perasaan dan implikasi pada kanak-kanak:

Gembira - Membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai.

Marah - Membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian.

Takut - Rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya, mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.

Sedih - Kehilangan, tidak mendapat apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.

Geli - Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.

Cemas - Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.

Malu - Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Rasa bersalah - Wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari ’standard’ tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.

Rasa bangga - Tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.

Perkembangan Awal Emosi (bayi 0-15 bulan)

Emosi asas (positif dan negatif) berkembang secara ‘gradual’ terutama dalam tempoh enam bulan pertama dan selalunya ditonjolkan menerusi memek muka dan ‘eye contact’:
- gembira/seronok - senyum, pipi terangkat, mata berbentuk bulan sabit. Contoh - bila diagah.
- terkejut - angkat kening, mulut terbuka luas, bulatkan mata. Contoh - berhenti menangis bila dengar bunyi muzik atau suara jeritan
- minat - merenung, mengerutkan kening dan bibir. Contoh - merenung wajah ibu, melihat persekitaran
- marah - mengerut dan memasamkan muka, kening turun naik, mata tajam. Contoh ‘mengamuk’ bila mengantuk atau lapar, bila objek ‘dirampas’ daripada tangan.
- Sedih - muka masam dan layu, dagu tertolak ke hadapan. Contoh - ditinggalkan ibu
- Geli- berkerut kening, jelir lidah. Contoh - ‘menolak’ jenis makanan tertentu, menangis bila buang air.

Bayi antara 3 - 8 minggu sudah boleh tersenyum- perkembangan awal emosi positif. Bayi 12- 20 minggu - senyum pada wajah dan suara dikenali; senyum bila merasakan persekitaran ‘dikuasai’, mula ketawa.

- Enam bulan pertama bayi masih belum mempunyai rasa sayang/ kasih pada sesuatu/seseorang.

- Perasaan kasih mula terbentuk ketika usia antara 7 hingga 9 bulan - melalui hubungan ikatan kasih sayang, sentuhan, belaian dengan orang yang paling hampir seperti ibu dan ayah, menunjukkan rasa tidak senang/takut dengan kehadiran ‘orang asing’.

Emosi anak tatih (16-36 bulan)

Emosi turun naik seperti ‘roller coaster’
Usia 2 tahun : sudah tahu menunjukkan emosi dan emosi yang ditunjukkan memang disengajakan - tidak ragu-ragu untuk melakukannya.
Mahu ‘bebas’ tetapi tidak mahu ditinggalkan bersendirian - rasa diri ’sudah besar’ tetapi mahu dibelai.
‘reject syndrome’ - dalaman kanak-kanak bukan ‘menentang’ ibu bapa.
‘temper tantrum’ (tidak mampu meluahkan perasaan sepenuhnya dalam bentuk perkataan/verbal)

Berbagai bentuk perasaan takut: bunyi bising, suara binatang, bilik gelap, ‘hilang’ ibu bapa, perubahan persekitaran dan sebagainya (takut pada apa saja yang ‘dianggap’ bahaya).
Emosi anak prasekolah (36 bulan hingga ke usia enam tahun)

Usia 3-4 tahun sudah boleh memahami perkaitan antara emosi dan persekitaran/ sebab yang mempengaruhi emosi. Mula belajar mengawal emosi yang turun naik. Pemahaman terhadap emosi orang lain terbatas hanya kepada emosi yang ditunjukkan melalui memek muka. Perasaan takut yang terbentuk berkait dengan imaginasi dan khayalan berserta perkembangan daya kreativiti dan pemikiran abstrak. Contohnya takut hantu, takut jatuh. Lebih berdikari, kurang physical contact dengan ibu bapa. Lebih banyk bercakap untuk mencurah perasaan/menangani perasan.

Perkembangan emosi kanak-kanak usia pertengahan (7-14 tahun)

Sudah pandai menyembunyikan emosi yang negatif dengan berpura-pura menunjukkan keseronokan. Sudah mula memahami dan menghurai emosi yang kompleks : perasaan malu, rasa bersalah, rasa bangga dan cemburu. Perasaan takut mula berkembang kepada yang lebih realistik - takut sekolah, takut berkomunikasi, takut kejadian jenayah. Mahu disayangi tetapi bukan ditonjolkan depan ramai. Amat memerlukan bantuan mengenalpasti emosi marah agar tidak ‘out of control’; belajar mengawal perasan. Perlu perhatian dan dorongan mengatasi rasa takut. Mula memahami keperluan kumpulan.

Tanda-tanda Anak Bersedia Ke TANDAS.

Tanda-tanda anak anda sudah bersedia untuk latihan ke tandas (untuk mencuba, tidak semestinya anak anda ada kesemua tanda-tanda berikut)

Skil Bahasa

  1. Mampu mengikut arahan (cth: “Tanggal seluar, pergi ke tandas.”).
  2. Bercakap dua patah perkataan (cth:"babai yak", “jom yak”).

Skil Kognitif

  1. Meniru perbuatan orang dewasa (cth: menyapu lantai)
  2. Memahami sebab dan akibat (cth: kalau kencing, seluar basah)

{mosimage}Skil Emosi

  1. Suka mendapat pujian dengan mengikut arahan anda
  2. Menunjukkan bantahan, tidak patuh kepada arahan anda
  3. Cuba untuk berdikari dalam aktiviti seharian (cth : berkeras untuk makan sendiri, cuba menanggalkan seluar sendiri)
  4. Bangga dengan kepunyaan sendiri (“adik punya” dan “yak adik”)
  5. Suka mengikut dan melihat anda atau kakak/abangnya ke tandas.

Skil Motor

  1. Boleh berjalan dengan baik
  2. Boleh menanggalkan seluar sendiri
  3. Boleh berdiri tegak 5 minit tanpa bantuan
  4. Boleh menahan kencing dan berak (lampin akan kering lebih 2 jam tetapi bila basah, basah dengan banyak sekali)
  5. Buang air besar pada masa yang sama hampir setiap hari

Penjagaan Badan

  1. Tidak selesa dengan lampin yang basah atau bernajis
  2. Tidak mahu memakai lampin dan suka menanggalkannya
  3. Meminta untuk menggunakan kerusi ‘potty’
  4. Menunjukkan ekspresi muka, badan, perbuatan atau percakapan jika mahu buang air. (cth: akan pergi ke satu sudut tertentu di rumah)

Melatih Anak Ke TANDAS


Melatih anak ke tandas untuk membuang air kecil atau besar merupakan satu fasa yang cukup mencabar kepada anak dan ibu bapa serta memakan masa yang agak panjang.

Kemahiran mengawal pundi kencing dan usus besar berbeza antara satu kanak-kanak dengan yang lain. Kanak-kanak perempuan juga biasanya didapati dapat mengawal pundi kencing dan usus besar lebih awal daripada kanak-kanak lelaki.

Menurut pakar, kanak-kanak biasanya mula dapat mengawal pundi kencing apabila berumur sekitar 15 ke 18 bulan. Pengawalan usus besar biasanya berlaku lebih awal daripada pengawalan pundi kencing. Anak juga lebih mudah memberitahu hendak membuang air besar daripada membuang air kecil.

Kesediaan anak untuk tugasan ini bergantung kepada perkembangan otak, saraf dan otot-ototnya. Cuba melatih anak yang belum bersedia akan memberi tekanan kepada anak dan ibu bapa. Tekanan mungkin melambatkan perkembangan ini. Ibu bapa harus melalui fasa ini dengan tenang dan realistik.

Saya biasanya melatih anak ke tandas sekitar usia anak 20 bulan ke 2 tahun apabila anak mula menunjukkan bahawa mereka tidak suka memakai lampin dan cuba membukanya sendiri. Pada usia ini anak juga dapat menahan kencing lebih lama.

Kanak-kanak 2 ½ tahun boleh menahan kencing selama 4 hingga 5 jam dan makin bertambah bila umurnya bertambah. Mereka biasanya lebih yakin dan tidak mahu memakai lampin di siang hari.

Buat permulaan ibu bapa perlu bertanya anak dari masa ke semasa sama ada mereka hendak buang air. Elakkan daripada mendesak. Kita mungkin perlu menemani anak ke tandas. Buat permulaan kita juga perlu sentiasa membasuh mereka dengan betul kerana mereka belum faham konsep istinjak.

Pastikan juga anak di ajar membasuh tangan dengan betul sebelum keluar dari tandas. Keadaan bertambah mencabar apabila anak ingin melakukan sendiri. Bimbing anak dengan sabar dan libatkan abang dan kakak mereka supaya kita dapat menjaga kesucian rumah. Sediakan tuala berhampiran tandas untuk anak mengelap badan. Mereka mudah tergelincir jika berjalan dalam keadaan badan yang basah

Berilah pujian setiap kali anak dapat buang air kecil atau besar di dalam tandas. Nyatakan bahawa dia telah melakukan sesuatu yang baik dan tunjukkan kegembiraan anda.

Sekiranya anak membuang air besar atau kecil di dalam seluar, bawa ke bilik air , tukarkan pakaiannya tanpa memarahi dan membuat kecoh mengenainya. Memarahi dan menghukum anak lebih memudaratkan kerana mereka mungkin tidak mahu langsung bimbingan dari kedua orang tuanya.

Pada peringkat ini, sebaiknya pakaikan mereka seluar yang mudah dibuka iaitu seluar bergetah sahaja tanpa butang dan zip. Rumah juga lebih baik tidak dihampar dengan tikar dan karpet setiap masa supaya najis dapat dibersihkan dengan mudah.

Ada juga kanak-kanak yang takut untuk menggunakan tandas kerana lubangnya yang besar. Mereka juga takut terjatuh ke dalamnya. Biasanya saya membenarkan anak membuang air kecil di lantai dalam tandas dan buang air besar di dalam bekas najis di dalam tandas. Saya dapati mereka juga takut untuk ke tandas di rumah orang lain dan apabila hari hujan lebat.

Berkongsi pengalaman peribadi, anak kedua saya mula bersedia untuk tidak memakai lampin pada bulan November iaitu bermulanya musim tengkujuh. Ini lebih menyukarkan kerana dia lebih kerap kencing kerana cuaca yang sejuk. Tambahan pula dia anak yang lasak dan sukar untuk memujuknya ke tandas. Saya kemudian memutuskan untuk mula melatihnya selepas musim tengkujuh.

Anak yang menyusu badan sehingga dua tahun juga lebih mudah untuk dilatih. Mereka kurang membuang air besar dan kecil berbanding susu botol kerana susu badan lebih mudah hadam.

Kita juga perlu lebih berwaspada kerana pada peringkat ini kanak-kanak bermain dengan air kencing dan najis adalah satu perkara biasa. Ini bukan bermakna mereka degil atau pengotor. Kanak-kanak terpesona dengan apa yang keluar daripada tubuh mereka.

Bermain dengan air kencing juga sering beraku kerana sememangnya kanak-kanak suka bermain air pada peringkat ini. Semua anak-anak saya pernah melakukan perkara ini.

Pada suatu ketika tanpa disedari seorang daripada anak saya bersembunyi di dalam bilik dan membuang air besar di dalam seluar. Kemudian dia menconteng dinding dengan najisnya seperti membuat aktiviti kreatif. Bayangkan bagaimana sukarnya untuk saya menahan perasaan marah dan mencuci kotoran yang dilakukan di dinding. Alhamdulillah ia hanya berlaku sekali sahaja. Saya dapat rasakan bahawa anak tahu perasaan marah melalui memek muka walau bagaimana saya cuba menyoroknya.

Ada juga anak yang cuba merasa air kencing dan memakan najisnya sendiri. Ini juga kerana naluri ingin tahu dan mencuba mereka yang sangat tinggi. Biasanya mereka tidak akan mengulangi tindakan ini kerana tidak suka dengan rasanya.

Di kampung saya dahulu, ada satu kepercayaan berkaitan perkara ini. Anak yang memakan najisnya sendiri dipercayai akan mengalami kerencatan otak. Jadi apabila ada anak yang memakan najis sendiri, emaknya akan pergi ke rumah-rumah jiran meminta beras untuk di buat bubur dan diagih-agihkan semula sebagai cara untuk mendoakan supaya perkara ini tidak terjadi.

Walaupun anak sudah pandai ketandas, kebanyakan kanak-kanak belum boleh meninggalkan kencing malam sehingga usia 3 tahun. Ada yang lebih lambat sehingga 4 dan 5 tahun.

Apa yang boleh membantu adalah memastikan mereka tidak minum air terlalu banyak dan kencing dahulu sebelum tidur. Pasangan lampu malam supaya memudahkan anak ke tandas apabila perlu. Pada peringkat ini saya sentiasa memasang lampu tandas pada waktu malam supaya anak tidak takut untuk ke tandas.

Kita juga boleh menggunakan lapik getah di bawah cadar. Juga elakkan membuat kecoh apabila anak kencing malam sekali sekala sebaliknya berikan bimbingan dan keyakinan kepada mereka.

Biasanya anak akan mempunyai keyakinan dan harga diri yang lebih tinggi apabila sudah pandai ke tandas. Kesediaan setiap kanak-kanak adalah berbeza dan pakar juga berpendapat tabiat ini juga mungkin diwarisi daripada ibu atau ayah.

Apa pun kadang-kadang masalah anak terkencing dalam seluar dan membasahkan tilam pada waktu malam berulang semula. Ini biasanya berpunca daripada kebimbangan anak seperti bertukar pengasuh, mula ke taska atau tadika dan pergaduhan ibu bapa. Rujuklah kepada pakar sekiranya masalah berlarutan atau anak menunjukkan perkembangan yang tidak normal dalam perkembangan ini.

Melatih anak ke tandas memerlukan kesabaran yang tinggi. Di taska kami sentiasa peka kepada perkembangan ini dan banyak membantu. Biasanya lebih mudah melatih kanak-kanak di taska kerana suasana yang lebih kondusif. Biasanya pengasuh akan memperingatkan semua kanak-kanak dari masa ke semasa. Mereka juga seronok berlatih ke tandas bersama kanak-kanak lain.

Apa pun anak perlu dilatih untuk ke tandas. Dalam proses memperolehi kemahiran ini anak akan melakukan banyak kesilapan dan sikap ibu bapa banyak mempengaruhi kejayaan mereka. Ibu bapa yang terlalu mengongkong dan mengharapkan kesempurnaan biasanya akan melambatkan proses ini.

http://praskgumisi.blogspot.com/

PEMAKANAN KANAK-KANAK KURANG BERAT BADAN


Anak-anak merupakan amanah Allah yang perlu dijaga dan dibelai dengan sepenuh kasih sayang. Pemakanan adalah satu faktor yang amat penting untuk mengukuhkan kesihatan, menampung pembesaran dan memenuhi keperluan keperluan untuk melakukan aktiviti fizikal. Kanak-kanak perlu makanan untuk membesar dan menjalani proses pembesaran yang sihat. Faktor yang menyumbang kepada berlaku kekurangan berat badan dikalangan kanak-kanak kurang berat badan diantaranya ialah kurang pengambilan tenaga (kalori) dan sumber protein. Selain daripada itu, masalah jangkitan cacing, jangkitan penyakit dan masalah kongenital juga merupakan masalah kekurangan berat badan.

Kesan akibat kekurangan berat badan terhadap kesihatan kanak-kanak

Para ibu dan bapa jangan memandang ringan terhadap berat badan kanak-kanak. Perkataan ’tak apa nanti besar berat badan akan naik” perlu dikikis. Tidak dinafikan pemberian makanan di usia satu hingga enam tahun adalah sesuatu yang amat mencabar. Namun perlu diingat, pemberian makanan yang berkhasiat amat diperlukan oleh kanak-kanak di usia begini untuk memenuhi keperluan tenaga dan nutrien yang semakin meningkat bagi mencapai tumbesaran dan perkembangan yang sempurna. Antara kesan akibat kekurangan berat badan terhadap kesihatan ialah:
• Menjejaskan kecerdasan otak
• Mengganggu pertumbuhan fizikal
• Mengganggu perkembangan kanak-kanak
• Mudah dijangkiti penyakit

Panduan Memberi Makanan Kepada Kanak-Kanak Kurang Berat Badan.

• Adalah digalakkan ibu menyusukan anak-anak dengan susu ibu selama enam bulan secara eksklusif dan teruskan sehingga berumur dua tahun.
• Elakkan daripada memberi makanan dan minuman yang rendah kandungan tenaga seperti air kosong, teh, kopi dan sup kosong.
• Pastikan anak-anak diberi makan sekurang-kurangnya 5-6 kali sehari.
• Tambahkan sedikit minyak, marjerin atau menggunakan santan dalam masakan contoh semasa menumis bawang, atau memasukkan santan semasa membuat bubur nasi.
• Pelbagaikan jenis makanan mengikut panduan Piramid Makanan Malaysia.

Ubah Suai Makanan Untuk Kanak-Kanak Kurang Berat Badan

Kanak-kanak yang kurang berat badan perlu makan makanan yang tinggi kalori (tenaga) untuk meningkatkan berat badan ketahap berat badan normal mengikut umur. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh ibu semasa menyediakan makanan anak-anak.

Ambil ini....
Nasi/bubur (Tambah...... nasi Santan/ ayam/daging/udang/telur)
Roti (Tambah...... Marjerin/mentega kacang/telur)
Biskut (Tambah...... Marjerin/keju/jem)
Sayur (Tambah...... Santan/marjerin/minyak)
Buah (Tambah...... Yogurt/ puding)

Menangani Anak yang Tidak Selera Makan

Masalah ini kerap berlaku dikalangan kanak-kanak yang berusia satu hingga enam tahun. Banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini, antaranya:
• Terlalu banyak bermain
• Tiada kawan
• Masalah kesihatan
• Masalah gigi rosak
• Jenis makanan dan cara masakan yang sama.

Ibu dan bapa perlu memainkan peranan untuk menggalakkan anak-anak makan. Antaranya:
• Galakkan anak makan bersama-sama ahli keluarga.
• Makan bersama-sama rakan sebaya.
• Hidangkan makanan beraneka warna dan bentuk yang menarik.
• Elakkan dari memarahi anak semasa makan.

Tanggungjawab ibu bapa amat berat. Namun ibu bapa jangan mudah putus asa untuk melayani kerenah anak-anak. Ini kerana anak yang sihat merupakan tonggak utama masa depan negara. Semoga anda dapat menjadi ibu bapa yang berjaya. Insyaallah.

Oleh: Puan Nor Azah Ahmad
Penolong Pengarah Kanan(Pemakanan)
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur

Anak Melatih Kita Bersabar ?

Sabar itu tercermin melalui tiga kategori iaitu sabar dalam berkata, perbuatan dan hati. Sabar dalam berkata ialah tidak mengucapkan kata – kata kesat dan kasar. Sabar dalam perbuatan ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak baik kepada orang atau objek disekeliling kerana marah. Sedangkan sabar dalam hati ialah bersangka baik dengan setiap yang berlaku.

Saat anak baru dilahirkan, dia hanya mampu menangis untuk menyatakan segalanya tanpa batas waktu dan keadaan. Terkadang sang ibu terutamanya yang baru menimang cahaya mata merasa rimas dan kurang sabar dengan tangisan yang belum dapat dipastikan apakah solusi terbaik untuk bayinya. Lapar, sakit, tidak selesa atau inginkan perhatian ? Rasa letih, mengantuk dan kesibukan dengan kerja rumah yang ada sekurang – kurangnya akan menimbulkan rasa kurang senang di hati seorang ibu sehingga meleteri anaknya bahkan mungkin kurang sabar dalam perlakuannya.

Saat anak telah mencecah usia kanak – kanak. Dia makin lincah, memanjat, menconteng dinding, memecahkan gelas dan meneroka setiap inci dunia yang berada di depan matanya. Jatuh bangun, adalah rencah kehidupannya. Si ibu sekali lagi kepenatan melayan kerenah anak – anaknya, apa yang pasti sebolehnya digari anak kecil itu agar dunia si ibu kembali aman.

Masa terus berlalu, zaman remaja dan dewasa terus ditempuhi oleh si anak dengan kerenahnya sendiri. Walaupun sudah lanjut usia, si ibu semakin kurang sabar dengan perangai anak – anaknya. Lisannya selalu menyatakan kesalahan anak – anaknya. Ingin dipukul, semuanya sudah pun dewasa.

Sedar atau tidak, anak itu menjadi sebahagian ujian Allah untuk kita yang bergelar ibu bapa meningkatkan kesabaran dalam hal – hal yang tidak kita senangi. Sedangkan Allah beserta orang – orang yang sabar dalam mengharungi segala musibah yang melanda hidup mereka. Saat kita menghadapi situasi yang kurang menyenangkan, cubalah untuk berbaik sangka terhadap apa yang terjadi. Cukuplah yang keluar dari lisan kita ialah doa – doa kebaikan dan kejayaan untuk si anak. Cukuplah pukulan sekadar menginsafkan dan peluk cium dengan penuh kasih sayang.

Anak kita adalah cerminan peribadi kita. Saat anak kelihatan menderhakai kita, semaklah kembali kederhakaan kita kepada perintahNya. Saat anak mulai enggan untuk mentaati kita, ukurlah kembali nilaian ketaatan kita kepadaNya. Kerana anak bukan sekadar diberi makan untuk terus hidup tapi perlu juga diberi didikan dunia dan agama untuk menjadi insan yang berbakti ketika di dunia dan penyelamat kita di akhirat sana.