Uswatun Hasanah (21 Mac 2008)

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers

Semoga Anakku Selalu Dilindungi ALLAH

Doa - Doa Harian


Doa Sebelum Tidur

Di sini BERMULA

Anugerah Maulidur-Rasul

Alhamdullillah, sempena menyambut ulang tahun kelahiranku yang ke-22 pada 25 Julai 2007, aku menerima hadiah paling bermakna iaitu disahkan mengandung anak pertama kami setelah 3 bulan melangsungkan pernikahan. Suamiku sangat gembira dan terus berkata, “Jadi, anak kita akan lahir pada hari Maulidur Rasul la ye. ” Saat mengandung dilalui dengan aktiviti yang agak lasak, berbasikal dari mula mengandung hinggalah kandungan berusia lapan bulan, mengajar di tadika, menghadiri seminar dan sebelum balik bersalin pun sempat menghadiri perkhemahan. Namun begitu, kandunganku sentiasa dalam keadaan yang selamat.

Aku dan suami pulang ke kampung dua minggu awal daripada tarikh bersalin (23 Mac 2008) memandangkan kami terlibat dengan proses pilihan raya ke dua belas. Kebetulan, nenekku adalah pakar dalam urutan tradisional dan pernah menjadi bidan, jadi dia pun mengurut dan membetulkan kedudukan bayi dalam kandungan supaya memudahkan proses kelahiran. Hal ini kerana, kandunganku lebih memberat ke arah kiri kerana aku lebih gemar mengiring ke kiri sewaktu tidur semasa mengandung.

Suamiku yang kembali semula ke Perak berjanji untuk pulang menjengukku pada hari sambutan Maulidur Rasul tapi sampai dua petang, dia masih belum muncul. Disebabkan kredit panggilan telah tamat dan semua ahli keluarga sibuk dengan urusan masing – masing, aku berjalan kaki ke kedai prepaid sejauh 1km dari rumah. Setelah dihubungi, suamiku mengatakan bahawa dia dalam perjalanan dan mungkin sampai ke kampong lewat malam. Petang itu juga, keluarga mertua menziarahiku.

Tepat pukul 10.00 malam, suamiku tiba di kampung. Selesai makan malam, kami pun masuk ke bilik tidur. Sebelum tidur, suamiku berkata,”anak abi cepat – cepat keluar, abi dah balik ni.” Pukul 1.00pagi aku berasa sakit perut, kesakitan itu kutahan memandangkan semua orang telah lena dibuai mimpi. Namun, kesakitan itu datang semakin kerap sehingga membuatkan aku berpeluh. Aku bangkit dari katil dan mengejutkan ibu di bilik sebelah.

Ibuku yang terkejut terus mengejutkan abangku untuk memanggil nenekku yang selang satu rumah dari situ. Suami akhirnya keluar dari bilik tidur kerana keriuhan kami di ruang tamu. Nenekku yang baru tiba terus memeriksa kandunganku, “anak dah nak keluar ni.” Ibu terus memberiku minum minyak selusuh sebeum kami bertolak ke Hospital Kelaboran, Tumpat. Sebelum sampai ke hospital, aku berasakan air panas keluar diikuti dengan darah.

Sampai di hospital, jururawat memeriksa bukaan serviks dan terus membawaku ke bilik bersalin. Di sebelahku ada seorang wanita yang turut sama akan melahirkan anaknya yang kedua. Jadi kami berlumba siapa yang dapat melahirkan anak dulu. Disebabkan ada satu lapisan putih yang menutupi laluan bayi, jadi aku diminta untuk menunggu sehingga lapisan itu hilang. Apa yang menarik, hanya jururawat wanita yang menguruskan kami, jadi kami agak bebas untuk membuka tudung.

Kesakitan itu datang lagi dengan jarak yang semakin kerap, kesakitannya menyebabkan aku memegang erat pada palang katil itu, aku terlena seketika apabila kesakitan yang hilang itu datang kembali. Tapi bagiku, bersalin tanpa suami di sisi membuatkan kita lebih banyak bergantung harap kepada Allah. Jururawat itu datang kepadaku dan memintaku bersedia untuk meneran. Apabila, dia melihat aku meneran dengan cara yang salah, lalu dia menerangkan cara yang sepatutnya. Setelah keletihan dan berputus asa, aku berkata “tak nak teran, sakit la.” “Awak teran la, sikit je lagi ni. Bila anak keluar je, terus sakit hilang. Orang sebelah dah dapat anak dah.”

Aku pun meneran sekali lagi tapi tetap tidak berjaya. Lalu jururawat itu memasukkan tangannya ke dalam laluan bayi untuk menyelamatkan anakku itu. Alhamdulillah, keluar juga akhirnya anak ummi pada pukul 4.. Bayi perempuan seberat 2.4kg. Wanita sebelah pula mendapat seorang bayi lelaki seberat 3.2kg.

Walaupun, wanita itu berjaya melahirkan anak sebelumku, aku berjaya keluar dari bilik bersalin sebelumnya kerana jahitan lukanya agak besar. Bayi comel itu diserahkan kepadaku untuk disusukan setelah dimandikan. Di luar, ibu dan suamiku telah siap menunggu. Jelas kehampaan wajahnya kerana tidak dapat menemaniku di ruang bersalin, tapi dia tersenyum bila melihat anaknya itu.

Setelah mengiqamahkan bayi, suami dan ibuku menunaikan solat subuh di surau. Ibu dan jururawat banyak membantuku untuk menguruskan anakku. Keluarga mertuaku yang terkejut dengan berita itu pun datang menziarahi kami. Oleh kerana bayiku banyak tidur sehingga dijangkiti penyakit demam kuning, kami dipindahkan ke wad kanak – kanak keesokkan harinya. Aku turut menangis apabila apabila bayiku menangis setiap kali cuba mamasangkan penutup mata padanya.

Di sini, aku belajar menidurkan bayi dalam incubator, menyusukan bayi, mengepam susu, berjaga malam, tidur dengan kaca mata, menguruskan bayi dan melayan kerenahnya. Pada pukul 5.40pagi, tangisan bayi – bayi menghiasi ruang wad ini kerana jururawat akan mengambil darah untuk diuji tahap demam kuning mereka. Disebabkan rasa kasihan melihat bayi masing – masing, para ibu berusaha bersungguh – sungguh untuk mengeluarkan anak mereka dari wad ini. Kami berlumba – lumba menyusukan bayi, menidurkan selama mungkin dalam inkubator dan memandikan bayi dengan ramuan herba. Semangat makin membara apabila ada dikalangan kami yang berjaya untuk pulang ke rumah. Alhamdulillah, pada hari ketiga, kami juga telah dibenarkan pulang.

Disebabkan bayiku lahir pada 21.3.08 dan sempena hari Maulidur-Rasul, suamiku mencadangkan nama Uswatun Hasanah (suri tauladan yang baik) untuk anak kami yang diambil dari surah ke-33 Al-Ahzab ayat 21. Walaupun sebelum ini, kami sepakat menamakannya Fadilatul Ahya’ (kebaikan yang hidup), tetapi disebabkan undian nama Uswatun Hasanah adalah majoriti, maka bayi comel ini kami namakan Uswatun Hasanah. Semoga anak ummi dan abi akan menjadi suri tauladan yang baik untuk umat ini. Amin.